Kenapa Golongan Wanita Ramai Menghuni Neraka?







Mungkin ramai golongan wanita tidak senang bila membaca tajuk di atas. Tetapi itulah realiti. Memang itulah kenyataannya kerana Rasulullah saw tidak pernah berdusta. Hadis nabi saw bertaraf sahih menjelaskan perkara ini. Iaitu Hadis riwayat imam al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah saw bersabda:
“Aku melihat ke dalam syurga maka aku melihat kebanyakan penduduknya adalah fuqara (orang-orang fakir) dan aku melihat ke dalam neraka maka aku menyaksikan kebanyakan penduduknya adalah golongan wanita.”

Sekiranya anda seorang perempuan, anda tidak perlu risau. Ramai tidak bermaksud tidak berpeluang langsung untuk masuk syurga. Hadis ini hanya menerangkan majoriti penghuni neraka, bukan tiada langsung golongan lelaki. Oleh itu berusahalah agar anda menjadi golongan yang berhak menghuni syurga.

 Apakah sebab?

Persoalannya apakah sebab ramai wanita jadi penghuni neraka? Rasulullah saw ada bersabda dalam beberapa hadis yang menyatakan punca-punca permasalahan ini. Antara penyebab-penyebabnya ialah :

1. Tidak bersyukur dan tidak menghargai  kebaikan suami

 Dalam sebuah kisah ketika Rasulullah saw dan para sahabatnya melakukan solat gerhana, Rasulullah S saw melihat Surga dan neraka.

Ketika beliau melihat neraka beliau bersabda kepada para sahabatnya , “ … dan aku melihat neraka maka tidak pernah aku melihat pemandangan seperti ini sama sekali, aku melihat kebanyakan penduduknya adalah kaum wanita. Shahabat pun bertanya, “Mengapa (demikian) wahai Rasulullah?” Beliau saw menjawab, “Kerana kekufuran mereka.”

Kemudian ditanya lagi, “Apakah mereka kufur kepada Allah?” Beliau menjawab, “Mereka kufur terhadap suami-suami mereka, kufur terhadap kebaikan-kebaikannya. Kalaulah engkau berbuat baik kepada salah seorang di antara mereka selama waktu yang panjang kemudian dia melihat sesuatu pada dirimu (yang tidak dia sukai) nescaya dia akan berkata, ‘Aku tidak pernah melihat sedikitpun kebaikan pada dirimu.’ ” ( Imam al-Bukhari)


2. Mendedahkan aurat

Dalam hadis lainnya, Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wassalam menjelaskan tentang wanita penduduk neraka, beliau bersabda, “ … dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya mereka telanjang, melenggak-lenggokkan kepala mereka kerana sombong dan berpaling dari ketaatan kepada Allah dan suaminya, kepala mereka seakan-akan seperti bonggol unta. Mereka tidak masuk Surga dan tidak mendapatkan wangian syurga padahal wangiannya dapat dihidu dari jarak perjalanan sekian dan sekian.” (Imam Muslim)

Jalan Penyelesaian

1. Untuk selamatkan diri dari tergolong dalam penghuni neraka maka anda (para isteri) hendaklah berusaha untuk mengenang jasa dan berterima kasih terhadap kebaikan suami. Taatilah mereka dan bersyukurlah dengan apa yang ada. Jangan menafikan beribu kebaikan suami hanya kerana satu kekurangan yang ada pada dirinya.

2. Tutuplah aurat dengan sempurna. Jangan jadi seperti dalam hadis, ‘berpakaian tetapi bertelanjang’. Pada hari ini ramai yang menutup kepala tetapi memakai pakaian yang nipis, ketat sehingga menampakan susuk tubuh dan macam-macam lagi fesyen yang tidak memenuhi konsep menutup aurat yang sebenar.

3. Jaga solat, puasa dan kehormatan diri.

Terdapat satu hadis yang menerangkan berita baik bagi wanita iaitu hadis yang bermaksud :

“Perempuan apabila solat lima waktu, puasa di bulan Ramadan, memelihara kehormatannya serta taat kepada suaminya, maka masuklah dia akan syurga mana-mana pintu yang dikehendakinya.”( Ibn Hibban,disahihkan oleh al-Albaniy)

4. Perbanyakkan bersedekah
Ini berdasarkan hadis yang bermaksud :

Ketika beliau selesai khutbah hari raya yang menyuruh untuk bertakwa kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dan anjuran untuk mentaati-Nya. Beliau pun bangkit mendatangi kaum wanita, beliau menasihati mereka dan mengingatkan mereka tentang akhirat kemudian beliau bersabda, “Hendaklah kamu bersedekah! Kerana kebanyakan kamu adalah kayu bakar neraka Jahanam!” Maka berdirilah seorang wanita yang duduk di antara wanita-wanita lainnya yang berubah kehitaman kedua pipinya, dia bertanya, “Mengapa demikian, wahai Rasulullah?” Beliau menjawab, “Kerana kamu banyak mengeluh dan kalian kufur terhadap suami!” (Imam al-Bukhari)

Dalam hadis yang lain baginda saw bersabda :

Selamatkanlah diri kamu dari neraka walaupun hanya ( bersedekah) dengan secebis kurma. (Imam al-Bukhari)

Semoga kita semua dirahmati oleh Allah dan ditempatkan di syurgaNya di akhirat kelak.

Iman VS Nafsu


Ketika membahagiakan diri sendiri, pernahkah kita terfikir untuk membahagiakan orang lain?
Perlu kita renung dalam-dalam dan muhasabah diri.
Di dalam kehidupan kita seharian, berapa ramai orang yang telah kita bahagiakan?
Telah kita penuhi hak mereka dengan menolong ketika mereka perlukan bantuan?
Adakah kita telah memberi nasihat, ketika mereka membutuhkannya?
Adakah kita telah meminjamkan wang ketika mereka benar-benar di dalam kesempitan?
Tidak kiralah siapa mereka itu, keluarga sendiri, jiran, sahabat-sahabat, pengawal keselamatan di kawasan perumahan kita, penyapu sampah di pasar, ataupun orang yang tidak pernah kita kenal atau berjumpa sebelum ini.
Kehidupan bukan sekadar untuk makan, minum, bekerja, berumah tangga, melancong dan berseronok, tetapi lebih daripada itu iaitu, memanfaatkan kehidupan untuk mendapat keredhaan al-Haqq 'Azza wajjalla selain mengecapi kebahagiaan duniawi dan ukhrawi. Sabda Rasulullah S.A.W :
"Sebaik-baik manusia di antara kamu adalah yang paling banyak memberi manfaat kepada orang lain, berakhlak mulia, mempelajari al-Quran dan mengajarkannya, serta orang yang umurnya panjang tapi banyak amal kebajikannya."
Dalam apa jua kerja dan ibadah yang dilakukan, semua di antara kita mahukan yang terbaik, sekurang-kurangnya dapat memuaskan hati sebagai laluan awal untuk mengecapi nikmat kebahagiaan; suatu fitrah yang dikurniakan Allah S.W.T kepada kita.
Namun, kadang-kala kayu ukur yang kita gunakan dalam menilai apa yang sedang kita lakukan kurang sesuai. Yang halal itu jelas, dan yang haram juga begitu, namun bila berada di pertengahan halal dan haram, kadang-kala kita cenderung untuk menghalalkannya.
Dalam kehidupan ini, kita selalu berperang dengan diri sendiri untuk menggapai kebahagiaan.
Pertarungan antara Iman dan nafsu!
Sebaik-baik manusia, sudah pasti pernah melakari sejarah hidup yang terbina di atas kekalahan Iman dalam pertarungan. Nuasa berdengung seketika, dalam keluar naik nafas kita, ke manakah pilihan yang harus dipilih.
Namun selagi nafas belum berhenti dan menyedari pertarungan belum berakhir, jangan sesekali kita berputus asa untuk memilih dan melakukan yang terbaik mengikut kayu ukur keimanan kita. Teruslah berjuang untuk kebahagiaan dunia dan Akhirat.
Walau sesekali kita rebah, bangkitlah segera kerana rahmat-Nya cukup luas. Sewaktu menjalani hidup ini, tiada yang lebih baik daripada dua kebajikan. Beriman kepada Allah S.W.T, itu yang pasti dan memberi manfaat kepada orang lain.
Manusia yang paling baik, adalah seorang yang dermawan dan bersyukur dalam kelapangan dan kesenangan, yang sering mendahulukan orang lain serta selalu bersabar ketika di dalam kesulitan..
Hadis Rasulullah S.A.W:
"Tidaklah seorang penzina itu berzina tatkala dia sedang beriman, tidaklah seorang pencuri itu mencuri tatkala dia sedang beriman dan tidaklah seorang peminum arak itu meminum arak tatkala dia sedang beriman." (Riwayat Bukhari).
"Selagi Iman bertapak kukuh di hati, selagi Iman tidak tercabut selama itu manusia akan tetap menolak ajakan nafsu."